MENJAWAB TUDUHAN TERHADAP WAHABI

MENJAWAB TUDUHAN TERHADAP WAHABI
Berikutan dari artikel sebelum ini iaitu “Bantahan Terhadap Rencana Bahaya Wahabi” Harian Metro juga menyenaraikan antara amalan dan fahaman wahabi dibahagian Info. Maka dari itu, saya ingin menjawab beberapa tuduhan ini yang tidak lain hanyalah berupa fitnah semata.

Amalan dalam fahaman Wahabi antaranya (sebagaimana terdapat dalam Metro):

1. Dalam mempelajari ilmu Usuludin hendaklah berpegang kepada fahaman yang diasaskan Ibnu Taimiyyah
2. Di dalam amalan fiqh pula tidak berpegang kepada mana-mana mazhab, malah boleh berpegang antara satu sama lain (Talfiq)
3. Berpegang kepada sumber al-Quran dan hadis sahih sahaja tanpa berpegang kepada Ijmak dan Qias
4. Melarang keras umat Islam berdoa melalui tawassul (perantaraan)
5. Melarang ziarah kubur walaupun makam Rasulullah s.a.w
6. Menghancurkan tugu peringatan kerana semua itu menjadikan umat Islam syirik
7. Melarang membaca qasidah dan berzanji yang memuji Rasulullah s.a.w. tahlil dan seumpamanya
8. Melarang umat Islam mengadakan sambutan hari kebesaran Islam seperti Maulid Nabi, Israk Mikraj dan lain-lain
9. Melarang umat Islam belajar sifat 20 dan seumpamanya
10. Fahaman Asa'ari iaitu fahaman Ahlu Sunnah Wal-Jamaah dibuang jauh-jauh
11. Imam dilarang membaca Bismillah pada permulaan Fatihah
12. Tidak boleh membaca wirid-wirid yang memuji Rasulullah s.a.w
13. Tidak boleh melagu-lagukan lafaz al-Quran dan laungan azan, tetapi boleh baca dengan lurus sahaja
14. Mengadakan majlis zikir secara berjemaah dilarang
15. Amalan tariqah dilarang sama sekali
16. Amalan berwirid selepas solat berjemaah dilarang keras


Jawapan terhadap bagi senarai di atas:

Senarai amalan dan fahaman wahabi di atas tersebut terdapat juga di dalam buku “Masalah Ugama” yang ditulis oleh Kiyai Haji Sirajuddin Abbas dalam edisi jawi, siri 1, keluaran Pustaka Aman Sdn. Bhd. Hal 145-147. Cuma ada 2 senarai dalam buku “Masalah Ugama” yang tidak terdapat pada senarai di atas iaitu: Melarang menghisap rokok dan makan sirih (terletak pada nombor 8), dan Tidak boleh membaca kitab “Dalail Khairat”, “Burdah” dan lain-lain wirid-wirid yang memuji-muji Nabi (terletak pada nombor 13). Kemudian pada beberapa senarai di atas juga diubah sedikit pada nombor 2 iaitu pernyataan Kiyai Sirajuddin Abbas mengatakan: Di dalam fiqh harus (mesti) memakai mazhab Hanbali dan pada nombor 3: Mazhab Syafi’i dibuang.

Kiyai Sirajuddin Abbas mengatakan fiqh itu harus (dalam bahasa indonesia bermaksud wajib) bermazhab Hanbali manakala mazhab Syafi’i dibuang. Sebagai jawapan: Sudah sedia maklum bahawa Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab bermazhab Hanbali di dalam fiqh, namun terdapat sebahagian masalah beliau keluar dari mazhabnya sendiri sebagaimana telah saya bawakan perkataan Abdullah bin Muhammad bin Abdul Wahab pada tulisan yang lalu. Manakala perkataan membuang mazhab Imam Syafi’i ini adalah dusta, kerana sebagaimana yang dikatakan oleh Abdullah bin Muhammad bin Abdul Wahab bahawa mereka menyuruh kepada masyarakat supaya mengikuti salah satu dari empat mazhab tersebut dan termasuklah mazhab Syafi’i. Mengenai rokok, masalah ini saya kira, kebanyakan orang sedia maklum akan keharamannya dan tidak perlulah saya jelaskan di sini. Dengan itu jelas senarai Kiyai Sirajuddin Abbas tersebut hanyalah dusta dan fitnah sahaja serta kejahilan yang disandang olehnya menyebabkan dia meluluh mengatakan amalan wahabi tersebut adalah sesat. Padahal ianya (yakni wahabi/salafi) jauh sekali dari kesesatan.

Di bawah ini saya sertakan semula senarai di atas ini (yang dikeluarkan di dalam Metro), satu persatu, seterusnya saya akan meletakkan jawapannya sekadar apa yang saya termampu.

Pertama: Dalam mempelajari ilmu Usuludin hendaklah berpegang kepada fahaman yang diasaskan Ibnu Taimiyyah.

Ini adalah dusta semata. Wahabi mempelajari aqidah adalah dengan berpegang dengan Al-Quran dan As-Sunnah menurut jalan as-salaf. Syeikh Abdullah bin Muhammad bin Abdul Wahab menyatakan pegangan pendokong dakwah Syeikh Al-Imam Muhammad bin Abdul Wahab ketika memasuki kota Mekah pada tahun 1218H, ia seperti berikut:

“Adapun mazhab kami dalam Usuluddin (akidah) adalah mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah. Jalan (tariqah) kami adalah jalan as-Salaf iaitu jalan yang selamat, sejahtera, lebih baik serta lebih menepati jalan al-Khalaf ialah jalan yang lebih menepati kebenaran.” (Al-Durar Al-Saniyyah, jil 1, hlm 126)

Beliau menghuraikan lebih lanjut kenyataan di atas dengan katanya: “Adapun pegangan kami adalah perkara yang dikehendaki Allah ke atas kami. Ia adalah mazhab Salafus Soleh serta para pemimpin mereka di kalangan para sahabat radiallahu ‘anhum serta para tabi’in. Bagi mereka segala kebaikan. Termasuk di kalangan mereka itu imam empat mazhab serta tokoh-tokoh terkemuka lainnya. Semoga Allah meredai mereka sekaliannya. Berdasarkan pegangan mereka maka kami beriman serta menetapkan apa yang tsabit (dinyatakan) di dalam al-Quran serta hadis tanpa tasybih (menyerupakan Allah dengan makhluk), tamtsil (menyamakan Allah dengan makhluk), serta ta’til (menafikan apa yang telah ditetapkan). Jalan mereka menetapkan iktikad seperti berikut:

Mereka beriman dengan sifat-sifat Allah, nama-namaNya sebagaimana Allah sifatkan diriNya di dalam al-Quran atau menerusi lisan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. Ini dilakukan tanpa apa-apa penambahan terhadapnya, mengurangkannya, melampauinya, mentafsirkannya, mentakwilkannya dengan apa yang bercanggah dengan zahirnya ataupun menyerupakannya dengan sifat makhluk serta memperkatakan sesuatu tentangnya dengan apa yang tidak diperintahkan. Sebaliknya, mereka menerima keterangan al-Quran serta hadis berkenaan nama-nama dan sifat sebagaimana asalnya dengan menyerahkan pengetahuan serta kedudukan hakikinya kepada Allah yang menyatakannya.

Ketahuilah, mereka sentiasa berpesan-pesan antara satu sama lain supaya berittiba’ (mengikuti) dengan golongan terdahulu dari mereka serta mengambil sikap mendiamkan diri sebagaimana golongan terdahulu mendiamkan diri. Sehubungan hal ini, mereka amat berhati-hati supaya tidak melampaui serta menyalahi pegangan serta jalan yang ditunjukkan golongan terdahulu serta tidak lupa menyampaikannya kepada kami. Kesannya kami juga berhati-hati dari terbabit mengikuti jalan-jalan yang menyeleweng sebagaimana menjadi amalan golongan ahli bid’ah.” (Majmu’ah Al-Rasail wa al-Masail, jil 1, hlm 48)

Demikian apa yang dikatakan oleh anak kepada Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab berkenaan pegangan ayahnya. Jika sekiranya kita katakan ini merupakan juga pegangan Syeikh Al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah, maka kita katakan ya, memang benar. Inilah juga pegangan beliau serta inilah pegangan yang sepatutnya dipegang oleh kita semua sebagai penganut mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah berkata: “Maka ini adalah i’tiqad firqah najiah (puak yang selamat) Ahli Sunnah Wal Jamaah yang beroleh pertolongan sehingga hari Kiamat, iaitu beriman dengan Allah… Dan di antara (cara) beriman dengan Allah ialah beriman dengan apa yang Dia telah sifatkan diriNya dengannya dalam kitabNya dan dengan apa yang telah RasulNya Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam menyifatkanNya dengannya, tanpa tahrif (mengubah atau menukar ganti makna), tanpa ta’til (menafikan sifat bagi Allah Subhanahu wa Ta’ala), tanpa takyif (menggambarkan rupa bentuk sifat) dan tanpa tamthil (mengumpamakan makna dengan sesuatu). Bahkan, mereka (Ahli As-Sunnah Wal Jamaah) beriman sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta’ala tidak sebanding (Zat, Sifat-Sifat dan pentadbiran) Nya dengan sesuatu apapun, dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat. (Asy-Syura: 11) Mereka (Ahli Sunnah Wal Jamaah) tidak menafikan dariNya apa yang Dia telah sifatkan diriNya dengannya, mereka tidak mentahrifkan perkataan dari tempat-tempat (atau maksud)nya yang sebenar, mereka tidak mengilhadkan (menolak secara anti) nama-nama Allah serta ayat-ayatNya, mereka tidak membentukkan rupa makna dan mereka tidak mengumpamakan sifat-sifatNya dengan sifat-sifat makhlukNya, kerana sesungguhnya (Allah) Subhanahu wa Ta’ala tidak ada yang menyamai namaNya, tidak ada yang menyetaraiNya, tidak ada yang menyekutuinya dan tidak boleh dikiaskanNya dengan makhlukNya, Subhanahu Wa Ta’ala…” (Aqidah Al-Wasatiyah, hal 5-7; dinukil dari buku Siapakah Ahli Sunnah Wal Jamaah Yang Sebenar?, Dr. Azwira Abdul Aziz, Jahabersa, hal 47-49)

Kedua: Di dalam amalan fiqh pula tidak berpegang kepada mana-mana mazhab, malah boleh berpegang antara satu sama lain (Talfiq).

Untuk menjawab berkenaan tidak berpegang dengan mana-mana mazhab ini, mungkin ada baiknya saya nyatakan sekali lagi di sini pernyataan Abdullah bin Muhammad bin Abdul Wahab, beliau menulis dalam risalahnya sebagai ringkasan dari beberapa hasil karya ayahnya, Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab, seperti berikut:

“...Sedangkan dalam hal masalah furu’ (fiqh) kami cenderung mengikuti mazhab Ahmad bin Hanbal rahimahullah. Kami tidak pernah mengingkari (melarang) seseorang bermazhab dengan salah satu daripada mazhab yang empat. Dan kami tidak mempersetujui seseorang bermazhab kepada mazhab yang luar dari mazhab empat, seperti mazhab (Syi’ah yang terdiri daripada - edt) Rafidhah, Zaidiyah, Imamiyah dan lain-lain lagi. Kami tidak membenarkan mereka mengikuti mazhab-mazhab yang batil. Malah kami memaksa mereka supaya bertaqlid (ikut) kepada salah satu dari mazhab empat tersebut. Kami tidak pernah sama sekali mengaku bahawa kami sudah sampai ke tingkat mujtahid mutlaq, juga tidak seorang pun di antara para pengikut kami yang berani mendakwakan dirinya dengan demikian. Hanya ada beberapa masalah yang kalau kami lihat di sana ada nas yang jelas, baik dari Al-Quran mahupun Sunnah, dan setelah kami periksa dengan teliti tidak ada yang menasakhkannya, atau yang menkhususkannya atau yang menentangnya, lebih kuat daripadanya, serta dipegangi pula oleh salah seorang Imam empat, maka kami mengambilnya dan kami meninggalkan mazhab yang kami anut (yakni mazhab Hanbali)...” (Shiyanah al-Insan, Syeikh Muhammad Basyir as-Sahsawani, hal 473)

Syeikh Muhammad Nasiruddin Al-Albani rahimahullah berkata: “Sesungguhnya penyeru untuk kembali kepada as-Sunnah tidak bermaksud meninggalkan semua mazhab yang ada baik secara global mahupun secara rinci, bahkan mereka (yang mengajak untuk kembali kepada Sunnah Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam) senantiasa menghargai mazhab-mazhab tersebut dan menghormati para imam mazhab-mazhab tersebut dan menghormati para imam untuk memahami al-Kitab dan as-Sunnah. Mereka hanya meninggalkan pendapat para imam apabila jelas bertentangan (atau kurang bertepatan) dengan al-Kitab (al-Quran) dan as-Sunnah.” (Risalah Ilmiah Al-Albani, Pustaka Azzam, hal 42)

Sebelum ini saya telah pun membawakan perkataan Imam Syafi’i akan peri-pentingnya mengikuti dalil-dalil yang sahih dan tidak boleh mengambil pendapat individu tertentu melainkan mengetahui dalilnya terlebih dahulu. Pernah juga saya membawakan contoh sebagaimana dalam masalah tayammum yang mana pendapat Imam Syafi’i adalah hendaklah mengusap wajah dan kedua-dua tangan sehingga siku sebanyak dua kali tepukan. Namun Imam Nawawi rahimahullah seorang Imam yang menjadi rujukan dalam mazhab Syafi’i sendiri menyatakan bahawa pendapat yang benar dalam masalah tayammum adalah sebagaimana riwayat Bukhari dan Muslim iaitu sekali tepukan (ke tanah) sahaja kemudian diusapkan ke wajah seterusnya kedua-dua tangan sekitar pergelangan. (Sila rujuk artikel Siapakah Pengikut Imam Asy-Syafi’i yang sebenar)

Ketiga: Berpegang kepada sumber al-Quran dan hadis sahih sahaja tanpa berpegang kepada Ijmak dan Qias

Ini juga merupakan tuduhan yang dusta. Ini kerana Ijmak (persepakatan) dan Qias termasuk dalam salah satu sumber hukum syarak. Bacalah kitab “Al-Usul Min ‘ilmi Al-Usul” karya Syeikh Muhammad Sholeh Ibn Utsaimin rahimahullah. Di dalam kitab tersebut Syeikh ibn ‘Utsaimin berkata:

“Al-Ijmak adalah merupakan hujah agama berdasarkan kepada beberapa dalil seperti berikut: (1) Firman Allah Ta’ala (al-Baqarah: 143), Maksudnya: “Dan demikian (pula) kami telah menjadikan kamu (umat Islam) umat yang adil pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia.” Perkataan syuhada (saksi) merangkumi kesaksian terhadap amalan mereka dan terhadap hukum-hukum amalan mereka dan kata-kata saksi adalah diterima. (2) Firman Allah Ta’ala (an-Nisa’: 59) Maksudnya: “Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (sunnahnya).” Ayat ini menunjukkan bahawa apa yang mereka persetujui adalah hak. (3) Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengumpul umatku atau umat Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam di atas kesesatan.” (4) Ijmak umat ini terhadap sesuatu perkara secara umum terbahagi dua; sama ada hak atau batil. Sekiranya hak, ianya adalah hujah. Sekiranya batil, adalah satu perkara yang amat mustahil bagi umat ini yang merupakan sebaik-baik umat di sisi Allah Ta’ala semenjak perutusan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam sehinggalah ke hari akhirat kelak, untuk berijmak terhadap perkara batil yang tidak diredhai Allah Ta’ala. Ini sebenarnya satu perkara yang mustahil akan berlaku.” (Pengenalan Ringkas Kepada Ilmu Ushul Al-Fiqh, Syeikh Muhammad Shalih al-‘Utsaimin, jahabersa, hal 100-101)

Demikian juga masalah Qias, di dalam buku yang sama Syeikh Ibn Utsaimin menjelaskan: “Al-Qiyas (persamaan) adalah salah satu dalil-dalil yang terpancar darinya hukum-hukum Syarak. Ianya telah disahkan sebagai dalil syarak oleh Al-Quran, As-Sunnah dan kata-kata sahabat.” (Ibid, hal 104)

Masalah Ijmak telah saya kemukakan pada tulisan lalu bahawa Zamihan Al-Ghari mengatakan pendukung Sunnah Malaysia menolak Ijmak, padahal telah dibantah oleh Dr. Azwira dalam bukunya “Siapakah Ahli Sunnah Wal Jamaah Yang Sebenar?” iaitu berkenaan azan dua kali pada hari jumaat yang dianggap oleh Zamihan terdapat ijmak ulama akan hal tersebut, namun ternyata sebenarnya tidak ada ijmak pun di dalam hal itu. (Untuk merujuk buku tersebut sila klik di sini)

Manakala dalam masalah Qias ini sebagai contoh, saya pernah melihat ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Nuruddin Al-banjari Al-Makki (beliau seorang Indonesia) dalam sebuah vcd ceramahnya beliau mengatakan berkenaan masalah lafaz niat solat dan puasa, bahawa Imam Syafi’i mengqiaskannya dari hadis berikut:

Dari ‘Aisyah radiallahu ‘anha berkata: Pada suatu hari Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam masuk ke rumahku dan berkata: “Apakah engkau memiliki sesuatu (yakni makanan)?” Kami menjawab: “Tidak.” Baginda bersabda: “Jikalau begitu aku berpuasa.” (Hadis riwayat Imam Muslim; lihat Bulughul Maram, no: 7)

Imam An-Nawawi rahimahullah berkata dalam Syarah Sahih Muslim: "Dan padanya terdapat dalil bagi mazhab jumhur bahawa puasa sunat (nafilah) itu dibolehkan (harus) dengan niat pada siang hari sebelum tergelincirnya matahari.” (Syarah Sahih Muslim, Imam An-Nawawi, dalam maktabah syamilah, 4/157)

Hadis di atas hanya menjelaskan bahawa puasa sunat itu harus sekiranya diniatkan pada siang hari sebelum tergelincirnya matahari yakni sebelum masuknya waktu zohor. Inilah maksud hadis tersebut. Tidak ada qias kepada niat pun yang berlaku di dalamnya. Sungguh Nuruddin Al-Banjari telah mendustakan nama Imam Syafi’i kononnya mengkiaskan hadis ini kepada lafaz niat solat dan puasa. Mungkin Nuruddin tidak pernah belajar usul fiqh atau terlupa bahawa terdapat kaedah yang mengatakan “Tidak ada Qias di dalam Ibadah.” Ini kerana ibadah itu sifatnya "tauqifiyah".

Pernyataan Imam Malik rahimahullah sangatlah baik, yang mana beliau pernah berkata: “Maka sesuatu yang tidak menjadi agama pada hari tersebut (di zaman Rasulullah dan sahabatnya - edt), ia tidaklah pula menjadi agama pada hari ini." (Al-I'tisam oleh Imam Al-Syatibi, jilid 2, ms. 283)

Demikianlah penerangan masalah Ijmak dan Qias yang saya nukilkan dari Syeikh Muhammad Sholeh ibn Utsaimin adalah merupakan salah seorang ulama yang dituduh dengan berbagai-bagai tuduhan sama ada sesat atau kafir atau sebagainya oleh para pembenci wahabi (salafi) sebagaimana juga ulama-ulama yang sezaman dengannya yang lain seperti Syeikh Abdul Aziz bin Baz, dan Syeikh Muhammad Nasiruddin Al-Albani rahimahumullah.

Keempat: Melarang keras umat Islam berdoa melalui tawassul (perantaraan)

Ahli Sunnah membenarkan berdoa melalui tawassul yang syar’ie (disyariatkan) bukan tawassul yang bid’ie (diada-adakan). Tawassul (perantaraan) yang disyariatkan itu adalah sama ada berdoa kepada Allah dengan menyebut nama-nama dan sifat-sifatnya sebagai perantara, atau bertawassul dengan amal soleh diri sendiri, atau bertawassul dengan meminta orang soleh mendoakan kita.

Dalil bolehnya bertawassul dengan nama-nama dan sifat-sifat Allah:

Firman Allah Ta’ala:


وَلِلَّهِ الأَسْمَاءُ الْحُسْنَى فَادْعُوهُ بِهَا وَذَرُوا الَّذِينَ يُلْحِدُونَ فِي أَسْمَائِهِ سَيُجْزَوْنَ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Maksudnya: “Hanya milik Allah asmaa-ul husna, Maka bermohonlah kepada-Nya dengan menyebut asmaa-ul husna itu dan tinggalkanlah orang-orang yang menyimpang dari kebenaran dalam (menyebut) nama-nama-Nya. Nanti mereka akan mendapat balasan terhadap apa yang Telah mereka kerjakan”. (Surah Al-A’raf: 180)

Rasulullah sendiri ketika mana beliau bersedih dan berdoa dengan menyebut sifat-sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala:

كان إذا حزبه أمر قال : يا حي يا قيوم برحمتك أستغيث

Maksudnya: “Sesungguhnya apabila baginda (Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam) bersedih kerana sesuatu perkara maka baginda mengucapkan: “Wahai Yang Maha Hidup, Wahai Yang Maha Berdiri sendiri dengan RahmatMu aku memohon pertolongan”. (Hadis riwayat Tirmizi, disahihkan oleh Al-Albani dalam Sahih wa Dha’if Sunan Tirmidzi, no: 3524)

اللهم إني أعوذ بعزتك لا إله إلا أنت أن تضلني

Maksudnya: “Ya Allah aku berlindung dengan kebesaranMu, tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau, janganlah sesatkan aku” (Hadis riwayat Muslim; Sahih al-Jami’ Shogier, no: 1309)

Dalil bolehnya bertawassul dengan amal soleh:

Ini berdasarkan hadis yang panjang riwayat Bukhari dan Muslim dalam sahih mereka berdua dan juga kitab-kitab hadis yang lain, yang mana seketul batu besar telah menutup pintu gua, lalu mereka bertawassul kepada Allah dengan menyebut amalan-amalan soleh yang dilakukan dengan ikhlas. Setiap dari mereka berkata: “Sekiranya aku melakukan amalan ini hanya kerana mencari keredhaanMu maka lepaskanlah kesusahan yang sedang kami alami.” Lalu batu besar itu terbuka dan mereka berjalan keluar dari gua itu. (Syarah Aqidah Thahawiah, Terjemahan oleh Hasnan bin Kasan, Terbitan JAKIM, jilid 1, hal 290)

Dalil bolehnya bertawassul dengan doa orang soleh:

Di masa hayatnya Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, para sahabat hanya bertawassul dengan meminta baginda mendoakan. Mereka meminta baginda mendoakan untuk mereka dan mereka mengaminkan doa baginda sebagaimana yang berlaku dalam doa meminta hujan dan lain-lain. Apabila baginda wafat, Saidina Umar radiallahu ‘anhu berkata apabila mereka telah keluar untuk meminta hujan: “Ya Allah, dulu kami kekeringan air, kami berdoa secara bertawassul dengan nabi Engkau kepada Engkau, lalu Engkau menurunkan hujan kepada kami, maka sekarang ini kami bertawassul dengan bapa saudara Nabi kami.” (Lihat Hadis riwayat Bukhari, no: 954)

Ibn Abil Izz Al-Hanafi rahimahullah: “Maksudnya ialah dengan doanya, dengan syafaat dan permintaannya kepada Tuhan. Umar bukan bermaksud bersumpah terhadap Allah atau meminta daripadaNya demi kedudukan baginda di sisi Allah. Ini kerana sekiranya inilah maksud Umar nescaya kedudukan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam adalah lebih besar daripada kedudukan bapa saudaranya al-Abbas.” (Aqidah Thahawiah, jilid 1, hal 289)

Demikianlah tuduhan mereka terhadap wahabi melarang bertawassul adalah tidak benar. Yang mereka melarangnya adalah bertawassul dengan Zat Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam. Ini merupakan perkara yang tidak pernah dilakukan oleh para sahabat Nabi sama ada ketika meminta hujan dan selainnya, baik ketika Nabi masih hidup mahupun setelah wafat. Tidak dilakukan di sisi kuburannya tidak pula di sisi selain kuburannya. Inilah sebagaimana yang dikatakan oleh Ibn Taimiyyah rahimahullah. (Lihat Majmuk Fatawa, 1/202) Apatah lagi sekiranya bertawassul dengan Zat yang lebih rendah dari Nabi Muhammad seperti anggapan sesetengah kaum sufi pada individu-individu tertentu sebagai wali keramat. Wal’iyazubillah.

Kelima: Melarang ziarah kubur walaupun makam Rasulullah s.a.w

Perkara ini juga merupakan fitnah yang sering dilontarkan kepada Syeikhul Islam Ibn Taimiyah rahimahullah dan alhamdulillah terdapat sebuah buku yang telah dikeluarkan oleh Jahabersa yang berjudul “Menjawab 17 Fitnah Terhadap Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah” penulisnya Syeikh Murad Syukri diterjemahkan oleh Ustaz Badrul Hisyam bin Sulaiman. Sebagai jawapannya (lebih lanjut sila rujuk buku tersebut atau klik di sini):

Pertama:

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah tidak melarang amalan ziarah kubur, termasuklah kubur Nabi shallallahu 'alaihi wasallam. Ini kerana ia adalah amalan sunnah yang pernah dilakukan oleh Nabi shallallahu 'alaihi wasallam sendiri.

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah menjelaskan: “Berkata kebanyakan (ilmuan), ziarah kubur orang-orang mukmin adalah dianjurkan untuk mendoakan (kebaikan) bagi yang telah mati di samping mengucapkan salam ke atas mereka. Ini sebagaimana Nabi shallallahu 'alaihi wasallam yang pernah keluar ke perkuburan Baqi' dan mendoakan (kebaikan) untuk mereka. Demikian juga sabit dalam hadis Shahih al-Bukhari dan Muslim bahawa baginda keluar ke perkuburan Syuhada' Uhud dan mensolatkan mereka seperti solatnya ke atas orang–orang yang meninggal dunia.” (Majmu' al-Fatawa, jld. 27, ms. 377)

Kedua:

Larangan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah hanyalah kepada amalan mengadakan satu perjalanan yang khusus ke kubur Nabi shallallahu 'alaihi wasallam atau kubur orang-orang shalih. Ini kerana di kalangan ahli ibadah ada yang berkata: “Kami tidak bermaksud menziarahi masjid (Nabawi), maksud kami ialah ke kubur baginda sahaja.”

Larangan ini tidak berasal daripada Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah sahaja, tetapi juga para ilmuan yang lain. Beliau menjelaskan hakikat ini dengan berkata: “Sedia dimaklumi bahawa pendapat ini dipegang oleh sejumlah besar para ilmuan zaman awal seperti Malik dan kebanyakan sahabatnya, al-Juwaini Abu Muhammad serta selainnya daripada para sahabat al-Syafi‘e dan kebanyakan para sahabat awal Ahmad (bin Hanbal).” (Majmu’ al-Fatawa, jld. 27, ms. 233)

Ketiga:

Pandangan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah ini memiliki dalil di sebaliknya dan beliau tidak berseorangan dalam berpandangan sedemikian. Seandainya para pembuat fitnah mengkaji masalah ini dengan adil, nescaya mereka akan dapati pandangan beliau tidak terkeluar dari peraturan para ahli ilmu beserta kaedah penghujahan dan pendalilan mereka.

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah pernah berkata: “Nabi shallallahu 'alaihi wasallam telah mengizinkan ziarah kubur setelah sebelumnya baginda melarang. Sebabnya adalah, ziarah kubur akan mengingatkan penziarah kepada kematian dan negeri Akhirat. Izin yang diberikan bersifat umum, baik menziarahi kubur umat Islam atau orang kafir.” (Iqtidha’ Shirat al-Mustaqim li Mukhalafat Ashbah al-Jahim, jld. 2, ms. 181)

Keenam: Menghancurkan tugu peringatan kerana semua itu menjadikan umat Islam syirik

Yang dimaksudkan dengan menghancurkan tugu peringatan ialah meruntuhkan binaan-binaan di atas kuburan yang ditinggikan di atasnya. Bahkan ada yang dijadikan masjid yang mana dibawahnya terdapat kuburan-kuburan yang mereka sangka sebagai kuburan wali. Mereka berpendapat dengan mendirikan masjid di atas kuburan akan mendapat berkat dan bantuan dari wali tersebut. Ini boleh disaksikan sendiri apa yang berlaku ke atas kubur Ayatu Syaitan Khomeini dan juga kubur-kubur lain yang terdapat di negara Mesir dan lain-lain.

Dengan menghancurkan binaan tersebut, dan menjadikan kubur itu rata serta sama seperti kubur-kubur lain, lantas mereka mengatakan perbuatan ini sebagai suatu keganasan?? Tuduhan ini sebenarnya senada dengan sebuah artikel yang pernah saya baca bertajuk “Wahabi Membuat Keganasan Di Kubur Baqi” Mereka mengatakan wahabi menghancurkan kubur Baqi yang mana pada ketika itu kubur-kubur para sahabat, semua ditinggikan dan dijadikan tempat bernazar dan membuat sembelihan kepada selain Allah. Padahal ini merupakan khurafat dan syirik yang sepatutnya dihindari. Tidakkah kita pernah mendengar sabda-sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam yang melarang perbuatan meninggikan kuburan-kuburan dan menjadikannya sebagai tempat perayaan sebagaimana perbuatan Yahudi dan Nasrani?

Abdullah bin Hasanah radiallahu ‘anhu berkata: “Aku lihat ‘Uthman bin ‘Affan radhiallahu ‘anhu memerintahkan agar diratakan kubur”. Maka dikatakan kepadanya: “Ini kubur Ummu ‘Amr binti ‘Uthman, maka beliau menyuruh agar diratakan”. (Diriwayatkan oleh Ibn Abi Syaibah, Abu Zar’ah dengan sanadnya yang sahih dari Abdullah dan telah diwaridkan oleh Ibn Abi Hatim dalam “al-Jarah wa at-Ta’dil” Jilid 3, hal 81-82)

Dari Abi al-Hayyah al-Asadi radiallahu ‘anhu berkata: Berkata kepadaku Ali bin Abi Talib: “Tidakkah aku mengutus engkau atas apa yang telah Rasulullah mengutusku? Janganlah dibiarkan satupun berhala kecuali engkau menghancurkannya dan tidak dibiarkan sebuah kuburpun kecuali engkau meratakannya.” (Hadis Riwayat Muslim, 3/61, Abi Daud, 3/70, An-Nasaii, 1/128, at-Tirmizi, 2/153-154, Al-Baihaqi, 4/3, At-Tayalisi, 1/168, Imam Ahmad no: 741, dan ada beberapa jalan pada Ibn Abi Syaibah dan at-Tabrani dalam as-Saghir hal 29)

Dari Anas radiallahu ‘anhu berkata: “Rasulullah telah memakruhkan (makruh di sini bermaksud haram - edt) membina masjid di antara kuburan”. (Riwayat Ibn Abi Syaibah, 2/185) Dan “Daripada Ibrahim an-Nakh’ie: “Sesungguhnya Nabi menegah orang yang mendirikan masjid di atas perkuburan.” (Riwayat Ibn Abi Syaibah, 4/134)

Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam juga bersabda: “Semoga Allah membinasakan Yahudi dan Nasrani yang menjadikan kubur para Nabi mereka sebagai masjid-masjid.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Abu Ya'la al-Musili dalam Musnadnya meriwayatkan atsar daripada Ali bin Husin, katanya: "Bahawasanya dia telah melihat seorang lelaki menuju ke suatu sudut berhampiran kubur Nabi s.a.w. lalu lelaki itu masuk ke tempat itu dan berdoa. (Apabila Ali bin Husin melihat perbuatan lelaki tersebut) beliau pun mencegah seraya berkata: "Mahukah aku ceritakan kepadamu apa yang telah aku dengar daripada ayahku, daripada datukku , daripada Nabi s.a.w. bersabda: "Janganlah kamu jadikan kuburanku sebagai perayaan. Dan janganlah kamu jadikan rumah-rumah kamu sebagai kuburan. Sesungguhnya salam yang kamu ucapkan itu akan sampai kepadaku di mana saja kamu berada." (Iqtida' al-Sirath al-Mustaqim oleh Ibn Taimiyyah, jilid 1, ms 300-301)

Said bin Mansur dalam Musnadnya meriwayatkan daripada Suhail bin Abi Suhail berkata: "Hasan bin Hasan bin Ali bin Abu Talib radiallahu ‘anhu telah meihatku yang sedang berada di kubur Nabi s.a.w. Lalu beliau memanggilku dan ketika itu dia berada di rumah Fatimah, sedang makan malam. Beliau berkata: Marilah menjamu makan malam bersamaku. Aku pun berkata: "Aku tidak mahu." lalu beliau berkata kepadaku: "Aku melihat engkau berada di kuburku, apa yang yang engkau buat di situ? Aku menjawab: "Aku mengucapkan salam kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam." Beliau pun berkata: "Sesungguhnya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Janganlah kamu jadikan kuburanku sebagai tempat perayaan dan janganlah kamu jadikan rumah-rumah kamu sebagai kuburan. Allah melaknat orang-orang yahudi yang telah menjadikan kubur-kubur nabi mereka sebagai tempat-tempat peribadatan. Berselawatlah kamu kepadaku. Sesungguhnya selawat kamu itu akan sampai kepadaku di mana sahaja kamu berada." (perawi) berkata: "Selawat kamu dengan orang yang tinggal di andalus adalah sama." (Ibid, ms 302-303)

Ibn Qayyim rahimahullah berkata: "Dan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam melarang menjadikan kuburan-kuburan sebagai tempat-tempat peribadatan dan melarang untuk menyalakan lampu di kuburan. Larangannya itu lebih tegas lagi sehingga baginda melaknat orang yang melakukannya. Baginda juga melarang solat menghadap ke kuburan dan melarang umatnya menjadikan kuburnya sebagai tempat perayaan dan melaknat umatnya menjadikan kuburnya sebagai tempat perayaan dan melaknat wanita-wanita yang selalu menziarahi kubur. Adalah dari petunjuk baginda ialah kubur itu tidak dihina (mengenakan najis di kubur) dan tidak boleh di duduki di atasnya. Tidak boleh duduk dan bersila di atas kuburan dan tidak boleh ia diagungkan dengan menjadikannya sebagai tempat beribadat, iaitu solat di kubur dan menghadap ke kubur, menjadikannya sebagai tempat perayaan dan penyambahan (melakukan ibadat)." (Zaadul Ma'ad oleh Ibn Qayyim al-Jauziyah, jilid 1, ms 525-526)

Ketujuh: Melarang membaca qasidah dan berzanji yang memuji Rasulullah s.a.w. tahlil dan seumpamanya

Nama Berzanji diambil dari nama pengarangnya yaitu Syekh Ja'far al-Barzanji bin Husin bin Abdul Karim. Beliau lahir di Madinah tahun 1690M dan meninggal tahun 1766M. Barzanji berasal dari nama sebuah tempat di Kurdistan, Barzinj. Karya tersebut sebenarnya berjudul 'Iqd al-Jawahir (maksudnya kalung permata) yang disusun untuk meningkatkan kecintaan kepada Nabi Muhammad saw, meskipun kemudian lebih terkenal dengan nama penulisnya. (Rujuk Wikipedia)

Sememangnya membaca berzanji sepatutnya perlu dijauhi kerana di dalamnya terdapat kisah-kisah yang palsu bahkan pujian-pujian yang ditujukan kepada Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam secara berlebihan. Sebagai contoh, mari kita lihat sendiri antara penyimpangan yang terdapat di dalam kitab tersebut.

Pada kitab “Majmu’ah Al-Mawalid Syarfu Al-Anam Barzanji Natsara wa Barzanji Nazam.” Terdapat ucapan selawat ke atas Nabi di dalamnya yang di antaranya:

السلام عليك ما حي الذنوب

“Salam ke atasmu Wahai penghapus dosa”


السلام عليك ياكهفا ومقصد

“Salam ke atasmu wahai tempat bernaung”


السلام عليك ياجالي الكروب

“Salam ke atasmu wahai penghapus bencana”


السلام عليك ياكل المرام

“Salam ke atasmu wahai tempat memohon segala hajat”

Demikian beberapa contoh selawat yang berlebihan di ucapankan ke atas baginda sallallahu ‘alaihi wasallam. Padahal Allah berfirman (maksudnya):

“(Hanyalah Dia) Yang Mengampuni dosa dan Menerima taubat lagi keras hukuman-Nya; Yang mempunyai karunia. Tiada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia. Hanya kepada-Nya lah kembali (semua makhluk). (Al-Mukmin: 3)

“Maka ketahuilah, bahawa sesungguhnya tidak ada Tuhan (Yang Hak) melainkan Allah dan mohonlah ampunan bagi dosamu dan bagi (dosa) orang-orang mukmin, lelaki dan perempuan. Dan Allah mengetahui tempat kamu berusaha dan tempat tinggalmu.” (Muhammad: 19)

Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam sendiri juga telah mengajarkan kepada kita suatu zikir yang merupakan penghulu segala istighfar sebagaimana yang diriwayatkan di dalam sahih Bukhari dari Syaddad bin Aus radiallahu ‘anhu, Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:


سَيِّدُ الاسْتِغْفَارِ اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لا إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلاَّ أَنْتَ أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ

Maksudnya: “Penghulu segala istighfar adalah (membaca) Ya Allah Engkau adalah Tuhanku, tiada Tuhan melainkan Engkau, Engkau telah menciptaku, dan aku adalah hamba-Mu, aku berada dibawah perjanjian dengan-Mu, dan aku berusaha memenuhi janjiku pada-Mu, semampu daku, aku akui segala nikmat yang telah Engkau beri padaku, aku akui segala dosaku, maka ampunilah dosa-dosaku, kerana tiada siapa yang dapat mengampunkan dosaku melainkan Engkau, aku berlindung pada-Mu dari kejahatan yang telah aku lakukan.” (Hadis riwayat Bukhari, no: 6306, rujuk Al-Adzkar An-Nawawi, no: 186)

Bahkan baginda sallallahu ‘alaihi wasallam sendiri memohon keampunan sebanyak lebih dari tujuh puluh kali kepada Allah Ta’ala, bagaimana bisa kita memohon keampunan kepada baginda sebagaimana contoh selawat yang terdapat di dalm Berzanji di atas tadi?

Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:


وَاللَّهِ إِنِّي لأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ فِي الْيَوْمِ أَكْثَرَ مِنْ سَبْعِينَ مَرَّةً

Maksudnya: “Demi Allah sesungguhnya aku memohon keampunan kepada Allah dan bertaubat kepadaNya dalam sehari semalam lebih dari tujuh puluh kali.” (Hadis riwayat Bukhari dari Abu Hurairah radiallahu ‘anhu; lihat Takhrij Al-Albani dalam Misykat Al-Mashobih, no: 2323)

Demikianlah selawat di atas ini yang terdapat di dalam kitab berzanji merupakan selawat yang bid’ah bahkan boleh membawa kepada kesyirikan kerana menempatkan doa meminta perlindungan, tempat bernaung, tempat memohon segala hajat kepada selain Allah. Mengapakah kita masih perlu kepada selawat-selawat yang tidak diajar (berasal) baginda sallallahu ‘alaihi wasallam? Tidak cukupkah dengan selawat yang telah baginda ajarkan kepada kita? Sebagai contoh yang paling panjang pernah baginda ajarkan kepada kita adalah seperti selawat di dalam tahiyyat sewaktu kita bersolat.

Imam An-Nawawi rahimahullah berkata:

وأما ما قاله بعض أصحابنا وابن أبي زيد المالكي من استحباب زيادة على ذلك وهي: "وارحم محمدا وآل محمد" فهذا بدعة لا أصل لها. وقد بالغ الإمام أبو بكر العربي المالكي في كتابه "شرح الترمذي" في إنكار ذلك وتخطئة ابن أبي زيد في ذلك وتجهيل فاعله، قال: لأن النبي صلى الله عليه وسلم علمنا كيفية الصلاة عليه صلى الله عليه وسلم، فالزيادة على ذلك استقصار لقوله، واستدراك عليه صلى الله عليه وسلم ، وبالله التوفيق.

Maksudnya: “Dan adapun apa yang diucapkan oleh sebahagian sahabat kami dan ibnu Abi Zaid Al-Maliki tentang sunnahnya menambah selawat lebih dari demikian (yang telah diajarkan) iaitu dengan membaca: “Dan sayangi Muhammad dan keluarga Muhammad” maka ini adalah bid’ah yang tidak ada asal baginya. Dan Imam Abu Bakar Al-‘Arabi Al-Maliki di dalam kitabnya ‘Syarah At-Tirmizi’ telah menyebutkan akan mungkarnya perbuatan tersebut dan Ibnu Abi Zaid menyalahkan hal itu dan menganggap pelakunya sebagai jahil, Dia berkata: Ini kerana Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam telah mengajarkan kepada kita bagaimana mengucapkan selawat padanya, tambahan yang demikian itu menimbulkan tanggapan bahawa apa yang disabdakan oleh baginda sallallahu ‘alaihi wasallam masih kurang, semoga Allah memberinya taufiq.” (Al-Adzkar, Imam An-Nawawi, dalam maktabah syamilah, hal 116)

Antara kepercayaan karut yang terdapat di dalam kitab Berzanji antaranya adalah mempercayai akan kewujudan Nur Muhammad yang merupakan makhluk pertama yang diciptakan sebelum makhluk-makhluk lain diciptakan. Ini sebagaimana tercatit di dalam kitab berzanji yang berbunyi:

“Dan lagi aku memohon kepadaNya moga-moga Allah mencucuri rahmat dan selawat ke atas Nur yang telah dijadikanNya terdahulu daripada segala makhluk yang lainnya iaitu Nur yang berpindah-pindah daripada satu dahi kepada satu dahi yang mulia keadaannya, iaitu moyang-moyang Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam yang mulia sehingga dahi Abdullah ayahandanya.” (Lihat terjemahan Maulid Berzanji oleh Zulkifli Mat Isa, Jahabersa)


Kisah Nur Muhammad ini boleh didapati di dalam suatu hadis yang panjang yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah Al-Ansari, akan tetapi hadis ini adalah palsu (maudu') kerana hadis ini tidak diperolehi dari kitab-kitab hadis yang masyhur seperti sunan sittah dan tidak juga oleh Imam-Imam hadis yang lainnya.

Para ulama yang membincangkan perihal apakah makhluk yang pertama diciptakan juga tidak pernah memasukkan Nur Muhammad ke dalam senarai perselisihan mereka sebagai makhluk yang pertama. Yang ada hanyalah Arasy, Qalam, air dan sebagainya.

Ibn Hajar Al-‘Asqalani rahimahullah ketika mengulas hadis-hadis mengenai makhluk yang awal dicipta, tiada satu pun yang berhubung dengan Nur Muhammad adalah makhluk pertama dijadikan. Beliau hanya menyebut perselisihan pendapat ulama mengenai Arasy, Qalam dan air, yang mana lebih awal dijadikan oleh Allah Ta’ala. (Kisah-Kisah Para Nabi Yang Tidak Boleh Dijadikan Hujah, Dr. Basri Ibrahim, Darul Nu’man, hal 15)

Antara dalil-dalil yang menunjukkan makhluk pertama diciptakan adalah berdasarkan hadis dari Waki’ bin Hudus dari ayah saudaranya Abu Razin radiallahu ‘anhu berkata:


يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيْنَ كَانَ رَبُّنَا قَبْلَ أَنْ يَخْلُقَ خَلْقَهُ قَالَ كَانَ فِي عَمَاءٍ مَا تَحْتَهُ هَوَاءٌ وَمَا فَوْقَهُ هَوَاءٌ وَخَلَقَ عَرْشَهُ عَلَى الْمَاءِ قَالَ أَحْمَدُ بْنُ مَنِيعٍ قَالَ يَزِيدُ بْنُ هَارُونَ الْعَمَاءُ أَيْ لَيْسَ مَعَهُ شَيْء

Maksudnya: “Wahai Rasulullah, di mana Tuhan kita berada sebelum Dia mencipta makhlukNya?” Jawab baginda: “Adalah Dia dalam al-Ama’, tiada di bawahnya udara dan tiada di atasnya udara dan Dia mencipta ArasyNya di atas air”. Kata Ahmad bin Mani’ (perawi hadis): Berkata Yazid bin Harun: “al-‘Ama’ yakni tiada suatupun bersamaNya.” (Hadis riwayat Tirmizi, Ibn Majah dan Ahmad; Al-Albani mengatakan hadis ini dhaif dan sebahagian dihasankannya – Misykat Mashobih, no: 5728)

Dan Hadis dari Abi Hafsah radiallahu ‘anhu berkata: Aku telah mendengar Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:


إِنَّ أَوَّلَ مَا خَلَقَ اللَّهُ الْقَلَمَ فَقَالَ لَهُ اكْتُبْ قَالَ رَبِّ وَمَاذَا أَكْتُبُ قَالَ اكْتُبْ مَقَادِيرَ كُلِّ شَيْءٍ حَتَّى تَقُومَ السَّاعَةُ

Maksudnya: “Sesungguhnya benda yang paling awal dicipta Allah adalah al-Qalam (pena), lalu Dia berfirman kepadanya: “Tulislah”. Berkata Qalam: “Wahai Tuhanku, apa yang hendak aku tulis?”. Allah berfirman: “Tulis takdir-takdir segala sesuatu sehingga hari kiamat.” (Hadis riwayat Abu Daud, Tirmizi dan Ahmad; Disahihkan oleh Al-Albani – Sahih wa Dha’if Sunan Abi Daud, no: 4700)

Manakala sebuah atsar yang mauquf dari Ibn Abbas radiallahu ‘anhuma pula berkata:


وكان عرشه على الماء على أي شيء كان الماء يومئذ قال على متن الريح

Maksudnya: “Dan adalah ArasyNya di atas air, pada hari itu air berada di atas apa? Beliau menjawab: “Di atas angin.” (Hadis riwayat Al-Hakim; sahih di atas syarat Bukhari dan Muslim. Al-Albani juga mengatakan sahih di dalam Dzilalil Jannah, no: 584)

Syeikh al-Mubarakfuri rahimahullah berkata:

قال في الأزهار أول ما خلق الله القلم يعني بعد العرش والماء والريح

Maksudnya: “Berkata dalam al-Azhar: Awal yang dicipta Allah adalah al-Qalam maksudnya selepas Arasy, air dan angin”. (Tuhfatul Ahwazi, Muhammad Abdul Rahman al-Mubarakfuri, 6/307, Dar al-Kutub al-Ilmiah-Beirut)

Demikianlah cerita awal makhluk adalah Nur Muhammad sebenarnya adalah karut dan berdasarkan hadis-hadis yang palsu semata. Golongan yang banyak membela kisah Nur Muhammad ini adalah kebanyakan dari golongan tarekat sufi. Juga tidak ketinggalan dahulu kumpulan Al-Arqam atau nama kemudian mereka Rufaqa yang telah difatwakan sebagai sesat pernah mencipta sebuah lagu dan didendangkan oleh kumpulan Qatrunnada dan Mawaddah (kumpulan wanita), iaitu sebuah lagu yang bertajuk “Mari mengenal Nabi.” Antara isi lagunya ialah:

“Dia adalah makhluk yang pertama dan utama
Yang paling dicintai Tuhan yang diberi nama Nur Muhammad
Dari Nur Muhammad inilah seluruh yang ada diciptakan
Syurga neraka dunia akhirat manusia dan lain-lainnya”


Lirik lagu di atas ini jelas fahaman mereka al-Arqam atau Rufaqa atau juga sekarang ini dengan nama terbaru mereka lagi iaitu Global Ikhwan, mereka berpegang dengan fahaman Nur Muhammad sebagaimana juga pada kebanyakan ahli tarekat sesat yang lainnya juga befahaman sebegini. Jika hendak dibicarakan lebih terperinci mengenai hal ini, akan memerlukan lebih banyak ruangan yang mana saya kira di sini bukanlah tempatnya. Ini kerana terdapat banyak lagi syubhat-syubhat mereka (para pendokong Nur Muhammad) yang mereka perindah dan menyusunnya sehinggalah nampak seakan-akan pegangan Nur Muhammad ini hanya termasuk dalam masalah khilafiah yang boleh ada perbezaan pendapat di dalamnya. Padahal masalah ini seharusnya bergegas dikembalikan kepada Al-Quran dan As-Sunnah yang sahih serta para ulama As-Salaf. Serta tidak mengikuti ayat-ayat yang samar-samar yang dijadikan tempat menimbulkan fitnah dikalangan manusia.

Firman Allah Ta’ala:

Maksudnya: “Dia lah yang menurunkan kepadamu (Wahai Muhammad) Kitab suci Al-Quran. sebahagian besar dari Al-Quran itu ialah ayat-ayat "Muhkamaat" (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu (atau pokok) isi Al-Quran. dan yang lain lagi ialah ayat-ayat "Mutasyaabihaat" (yang samar-samar, tidak terang maksudnya). oleh sebab itu (timbulah faham yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing) - adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar dari Al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari takwilnya (memutarkan maksudnya menurut yang disukainya). padahal tidak ada yang mengetahui takwilnya (tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan Allah. Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu agama, berkata:" Kami beriman kepadaNya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami" dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran.” (Ali-Imran: 7)

BENTENG SIHIR



Oleh: Mohd Yaakub Mohd Yunus

Apabila kita membicarakan mengenai sihir, kebiasaannya kita akan berdepan dengan tiga golongan manusia, iaitu mereka yang tidak mempercayai kewujudannya, mereka yang terpengaruh serta menggunakan khidmat ahli sihir dan mereka yang terlalu takut dengan kesan ilmu sihir sehingga tidak mengetahui apakah tindakan yang perlu dilakukan bagi melindungi diri mereka daripada terkena sihir.

Apa itu sihir? Menurut Ibnu Qudamah Al-Maqdisi di dalam al-Mughni, sihir adalah ikatan, jampi, perkataan yang dilontarkan secara lisan mahupun tulisan, atau melakukan sesuatu yang mempengaruhi badan, hati atau akal orang yang terkena sihir tanpa berinteraksi langsung dengannya.

Sihir ini mempunyai hakikat di antaranya ada yang boleh membunuh, menyakiti, membuat seseorang suami tidak boleh bersama isterinya atau memisahkan pasangan suami isteri, atau membuat satu pihak membenci lainnya atau membuat kedua-dua belah pihak saling mencintai.

Amalan sihir ini sebenarnya mempunyai hubung kait yang rapat dengan alam jin dan syaitan. Tukang sihir, pawang, dukun atau bomoh menjalankan ilmu hitamnya menerusi pertolongan jin dan syaitan.



Ahli sihir perlu melakukan amalan syirik, khurafat dan tahyul terlebih dulu bagi bersahabat dengan jin dan syaitan yang mereka gunakan untuk melakukan kerja jahat mereka. Apabila tukang sihir meningkatkan amalan kufur maka jin dan syaitan itu akan lebih taat kepadanya dan lebih cepat melaksanakan perintahnya.

Sehubungan dengan itu tukang sihir dan syaitan adalah teman setia yang saling bekerjasama dalam melakukan perbuatan yang terkutuk di sisi syarak dan ini dicela Allah SWT seperti firman-Nya: "Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang daripada manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat." (al-Jinn: 6)

Bagi sesetengah pihak, sekiranya sesuatu perkara itu tidak boleh dibuktikan mengikut kaedah saintifik maka dia akan menolaknya secara mentah seolah-olah ilmu sains itu menjadi satu cabang ilmu yang sempurna tanpa cacat-cela. Ilmu sains bukanlah sesuatu cabang ilmu yang sempurna. Sesuatu perkara itu hanya kita boleh diyakini sebagai seratus peratus benar sekiranya ia termaktub di dalam al-Quran dan Sunnah.

Sihir dan alam jin ini sebenarnya termasuk dalam perkara ghaib dan bagi umat Islam perkara itu perlu dirujuk kepada nas al-Quran dan hadis. Sekiranya sihir itu tidak wujud mana mungkin Allah SWT menyuruh kita berlindung diri daripada perbuatan tukang sihir seperti firman-Nya: "Katakanlah (wahai Muhammad); "Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk, dari bencana makhluk-makhluk yang Dia ciptakan; dan daripada bahaya gelap apabila ia masuk; dan dari kejahatan makhluk (tukang sihir) yang menghembus pada simpulan- (dan ikatan); dan daripada kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya." (al-Falaq: 1-5).

Di dalam al-Quran juga ada kisah Nabi Musa AS bertarung dengan tukang sihir Firaun. Bahkan dalam riwayat hidup Rasulullah, Baginda juga pernah terkena sihir Labid bin al-A'sham, seorang tukang sihir Yahudi seperti diriwayatkan dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim.

Bagi mereka yang terbabit dengan perbuatan sihir dan suka bertemu dengan ahli sihir seperti pawang, dukun dan bomoh, ketahuilah bawah amalan sihir ini termasuk dalam kategori dosa besar. Nabi SAW bersabda: "Jauhilah diri kamu daripada tujuh dosa yang boleh membinasakan" . Baginda ditanya: "Apakah dosa itu wahai Rasulullah? Baginda berkata: "Syirik kepada Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah melainkan dengan jalan yang benar, memakan harta anak yatim, memakan riba, lari dari medan pertempuran perang dan menuduh perempuan yang suci melakukan zina. "(Hadis al-Bukhari)

Sehubungan itu adalah diharamkan untuk bertemu bahkan mempercayai ahli sihir dan tukang ramal kerana ia perbuatan kufur. Sabda Baginda, "Bukan termasuk golongan kami yang melakukan atau meminta tathayyur (menentukan nasib sial berdasarkan tanda-tanda benda, burung dan lain-lain), yang meramal atau yang meminta diramalkan, yang menyihir atau meminta disihirkan dan barang siapa mendatangi peramal dan membenarkan apa yang dia katakan, maka sesungguhnya dia sudah kafir terhadap wahyu yang diturunkan kepada Muhammad SAW" (Hadis riwayat al-Bazzaar)

Tukang sihir ini sudah melakukan kerosakan serta huru-hara di dalam sesebuah masyarakat. Lantaran itu majoriti ulama mengharuskan hukuman bunuh terhadap tukang sihir. Akan tetapi Imam Syafie berpendapat tukang sihir hanya boleh dikenakan hukuman bunuh sekiranya dia menggunakan ilmu sihirnya itu untuk membunuh jiwa insan yang lain. Imam Syafie mengkategorikan hukuman terhadap tukang sihir ini sebagai qisas.

Dalam usaha seseorang itu untuk menghindarkan diri daripada terkena sihir, janganlah pula turut mengamalkan perbuatan yang memiliki unsur sihir atau meminta pertolongan daripada ahli sihir. Hendaklah setiap umat Islam melindungi diri mereka daripada niat jahat tukang-tukang sihir itu dengan membaca ayat al-Quran serta doa yang diajar Rasulullah SAW.

Berikut adalah beberapa petua yang diambil daripada hadis Baginda.

  -Membaca ayat Kursi, iaitu surah al-Baqarah ayat 255 setiap kali selesai solat lima waktu dan sebelum tidur.

  -Membaca surah al-Ikhlas, al-Falaq dan al-Naas setiap kali selesai solat lima waktu dan membaca ketiga surah itu sebanyak tiga kali pada pagi hari sesudah solat Subuh dan menjelang malam sesudah solat Maghrib.

  -Membaca dua ayat terakhir dari surat al-Baqarah, iaitu ayat 285-286 pada permulaan malam.

  -Membaca doa, "Aku berlindung dengan kalimat Allah yang sempurna daripada kejahatan makhluk ciptaan-Nya" pada malam hari dan siang hari ketika ingin pergi atau masuk ke sesuatu tempat.

  -Membaca doa, "Dengan nama Allah, yang bersama nama-Nya, tidak ada sesuatu pun yang membahayakan, baik di bumi mahupun di langit dan Dia Maha Mendengar dan Maha Mengetahui " -tiga kali pada pagi hari dan menjelang malam.

Menurut Syeikh Abdul Aziz bin Abdullah, bacaan zikir dan permohonan perlindungan kepada Allah bagi memperoleh keselamatan dan untuk menjauhkan diri dari kejahatan sihir atau kejahatan lainnya iaitu bagi mereka yang selalu mengamalkannya secara benar disertai keyakinan yang penuh kepada Allah, bertumpu dan pasrah kepada-Nya dengan lapang dada dan hati yang khusyuk.




Di Antara Keadilan dan Kekuasaan

Ramai orang bertanya saya tentang isu sebat model Kartika Sari Dewi Sukharno kerana meminum arak dan saya ketika itu sedang sibuk menjalankan kewajipan puasa Ramadhan dan pelbagai urusan.

Mengulas tentang isu keadilan di dalam Islam dan perundangannya maka saya cuma ingin memberikan pendapat saya mengenai kepentingan sebuah sistem dan kekuasaan.

Ramai orang tidak menyedari bahawa keadilan Islam, hukum hakam dan kesempurnaan pertunjuk Al-Quran dan As-sunnah adalah tidak berguna apabila ianya tidak dilaksanakan.

Namun melaksanakan ajaran Islam, menegakkan hukum Allah dan menjalankan keadilan di kalangan manusia memerlukan kepada Kekuatan dan Sistem yang lengkap.

Sistem itu ialah Al-Quran dan As-Sunnah jadi tiada masalah.

Firman Allah SWT : “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (An-Nisa : 58)

Tetapi kekuatan untuk melaksanakannya itu ialah merujuk kepada pemerintahan dan kerajaan yang tidak dimiliki oleh umat Islam yang mahu melaksanakan kewajipan agama.

Apabila berlaku pelanggaran syarak seperti perbuatan meminum arak, sudah pasti mereka yang cintakan agama mahu menjalankan kewajipan menyebat pesalahnya sesuai ajaran Islam begitu juga dengan jenayah mencuri yang membawa kepada hukuman potong tangan.

Golongan yang ingin menjalankan kewajipan tersebut bukanlah kerana mereka sukakan keganasan, suka melihat orang-orang diseksa dan dipotong tangannya tetapi mereka menyokong hukum tersebut kerana itu arahan agama dan mereka beriman kepadanya.

Sabda rasulullah :

إِنَّمَا أَهْلَكَ الَّذِينَ قَبْلَكُمْ أَنَّهُمْ كَانُوا إِذَا سَرَقَ فِيهِمُ الشَّرِيفُ تَرَكُوهُ وَإِذَا سَرَقَ فِيهِمُ الضَّعِيفُ أَقَامُوا عَلَيْهِ الْحَدَّ وَايْمُ اللَّهِ لَوْ أَنَّ فَاطِمَةَ بِنْتَ مُحَمَّدٍ سَرَقَتْ لَقَطَعْتُ يَدَهَا

“Sesungguhnya telah hancur manusia sebelum kamu kerana apabila orang yang mulia di kalangan mereka telah mencuri maka mereka membiarkannya dan apabila yang mencuri di kalangan mereka itu ialah orang yang lemah (hina) maka ditegakkan ke atasnya hudud maka demi Allah kalau sekiranya Fatimah binti Muhammad itu mencuri nescaya akan aku potong tangannya.” (hadis sahih riwayat Bukhari)

Islam mementingkan keadilan kerana adil itu bermaksud menjalankan perintah Allah menurut apa yang dikehendaki-Nya dan menyalahi kehendak Allah itu ialah kezaliman.

Namun untuk melaksanakan keadilan dan menegakkan hukum Allah ini maka umat Islam memerlukan kekuasaan malangnya mereka tidak memiliki kuasa.

Kuasa untuk melaksanakan agama terletak ditangan orang-orang yang tidak suka kepada agama dan tidak mahu melaksanakan kewajipan agama sebaliknya mahukan agama dilaksanakan mengikut keperluan dan kehendak mereka.

Kerana itulah keadilan tidak dapat dilaksanakan dan apabila tidak wujud keadilan maka yang tinggal ialah kezaliman.

Itulah yang diingatkan oleh Rasulullah SAW daripada Abu Hurairah dengan sabdanya : "Apabila amanah disia-siakan,maka nantikanlah saat kehancuran. Ketika seseorang bertanya apa yang dimaksud dengan disia-siakan itu, Rasulullah menjelaskan: Apabila urusan diserahkan kepada yang bukan ahlinya maka tunggulah saat kehancuran itu." (Hadis sahih riwayat Bukhari)

Di dalam Islam kekuasaan amatlah penting untuk kekal berada di tangan orang-orang yang beriman dan mahu melaksanakan agama.

Bahkan itulah janji Allah SWT : ”Sesungguhnya bumi ini akan diwariskan kepada hamba-hamba-Ku yang soleh”. (Surah Al Anbiya’: 105)

Dakwah Rasulullah sekitar 13 tahun di Mekah adalah untuk melahirkan generasi yang beriman dan yakin kepada sistem Islam (Al-Quran dan As-Sunnah). Ketika itu dakwah hanyalah sekitar seruan tauhid dan perkara yang bersangkut masalah aqidah (kepercayaan dan pegangan dasar agama) tanpa melaksanakan undang-undang atau hukuman kepada pembuat kesalahan.

Kerana undang-undang dan sistem Islam yang syumul serta lengkap itu tidak bermakna jika tiada siapa yang mahu melaksanakannya kerana tidak beriman atau tidak mahu mengiktirafnya.

Iman itu memerlukan amal dan amal terhadap hukum Islam ialah melaksanakannya.

Maka orang yang sanggup melaksanakan hukum Allah dan menjalankan kewajipan syarak akan menyebabkan dia menjadi seorang yang beriman kepada hukum Allah dan menerimanya serta melaksanakannya.

Malangnya ramai para ulama Islam hari ini tersilap dan diselewengkan oleh belitan syaitan apabila menolak konsep kekuasaan Islam ini dan mengatakan ianya tidak penting dan bukanlah perkara dasar.

Mereka terlupa bahawa sebaik sahaja kewafatan Rasulullah maka para sahabat terus bersidang di dalam balai bani Sa’adah untuk melantik Khalifah (penganti rasulullah) yang akan memimpin umat Islam dan sikap mereka ini sudah pasti merupakan hasil didikan dan kefahaman jitu mengenai kepentingan menegakkan KEKUASAAN.

Kekuasaan ini berfungsi melaksanakan seluruh sistem-sistem Islam dan bertujuan memastikan Islam tertegak dan dilaksanakan bagi memenuhi perintah syarak dan memenuhi maslahat umat Islam.

Maka di dalam urusan kekuasaan ini adalah menjadi kewajipan yang sangat penting kepada umat Islam untuk mengangkat pemimpin yang beriman dan mampu melaksanakan kitab Allah dan sunnah rasulullah.

Demikianlah juga yang disebutkan di dalam catatan sirah bahawa perlantikan Utsman bin Affan sebagai khalifah mendahului Ali bin Abi Tholib adalah disebabkan kesanggupannya untuk melaksanakan Kitab Allah dan Sunnah dengan lebih tegas berbanding Ali sewaktu keduanya disoal oleh Abd Rahman Bin Auf selaku pemegang amanah Khalifah menurut wasiat Umar bin Khattab.

Pemilihan pemimpin adalah di dasari kesanggupan mereka melaksanakan sistem Islam dan perundangannya (Al-Quran dan As-Sunnah)

Kekuasaan itu adalah amanah untuk meninggikan Islam.

Malangnya para ulama yang menyeleweng telah mewajibkan rakyat mentaati pemerintah yang tidak beriman kepada hukum Islam baik secara keimanan di dalam bentuk menerima dan mengakuinya di dalam hati, keimanan dengan mengakui hukum Allah itu di dalam bentuk lisan dan keimanan melalui perbuatan dengan melaksanakannya.

Sikap mereka sangatlah buruk, mereka menyalah gunakan hadis dan perintah rasulullah untuk mentaati pemimpin yang beriman kepada hukum Allah dengan memaksa orang awam agar tetap setia dan tunduk mentaati pemerintah dan pemilik kekuasaan yang tidak beriman dan tidak mahu menerima dan mengiktiraf sistem Islam dan perundangan Islam.

Sedangkan ciri kedua-duanya adalah sangat berbeza.

Pemerintah yang beriman kepada hukum Allah dan undang-undang Allah adalah wajib ditaati sekalipun mereka melakukan maksiat, zalim, suka menindas dan menyusahkan rakyatnya.

Kewajipan kepada mereka adalah wajib kerana undang-undang Allah yang disebut sebagai sistem Islam (Al-Quran dan As-Sunnah) adalah dipelihara oleh mereka melalui kekuasaan mereka.

Kewajipan ini adalah bersebab

Maka selama Al-Quran dan As-Sunnah tetap dipelihara dan dilaksanakan oleh mereka di dalam masyarakat maka mereka wajib ditaati.

Ini dilihat daripada Firman Allah yang menyebut tentang sikap orang beriman yang berkuasa : “(Iaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma'ruf dan mencegah dari perbuatan yang mungkar; dan kepada Allah-lah kembali segala urusan.” (Al-Hajj : 41)

Namun arahan mentaati pemimpin ini sama sekali tidak terpakai kepada orang yang tidak beriman dan tidak mahu menerima hukum dan undang-undang Islam dan tidak pula mahu berusaha melaksanakannya dan lebih teruk tidak mahu mengiktirafnya langsung.

Semoga Allah merahmati kita dan menjauhkan kita daripada para ulama sesat yang menyeru kepada kezaliman dan kecabulan terhadap Islam di atas nama sunnah.

Sebagai kesimpulan, sememangnya ahlul sunnah wal Jamaah bersetuju bahawa perkara yang paling utama ialah Aqidah dan mentauhidkan Allah serta menjauhi syirik namun kesemua usaha itu adalah hanyalah di permulaan dakwah dan bukan selamanya begitu. Sebaliknya Al-Quran dan As-sunnah mengajarkan kita mengenai pelbagai kisah dan usaha rasulullah untuk mendapatkan kuasa bagi menegakkan Islam dan memastikan maslahat umat terpelihara.

Kuasa adalah tidak berguna tanpa Agama (Al-Quran dan As-Sunnah) dan agama adalah tidak berguna tanpa kuasa.

Apakah kita akan berterusan menjadi Ashabul kahfi yang bersembunyi di gua batu atau menjadi seperti Musa yang membawa bani Israel melarikan diri daripada Firuan atau lebih teruk lagi menjadi golongan bani Israel yang menyuruh Musa dan tuhannya sahaja pergi membebaskan negeri Mesir sedang mereka mahu duduk menantikan sahaja di kedai kopi dan di laman forum ?

Al-Quran dan As-sunnah sudah lama wujud pada umat Islam namun masih tiada keadilan tertegak di dalam banyak perkara.

Ini semua berpunca kerana ketiadaan kuasa.

Maka adalah menjadi kewajipan kepada orang yang beriman untuk berusaha mendapatkan kuasa agar kekuasaan itu diletakkan pada tempat yang sepatutnya dan diserahkan kepada orang yang berhak.

Hanya orang yang beriman, menerima dan mahu melaksanakan sistem Islam (Al-Quran dan As-Sunnah) yang berhak mendapatkan kuasa.

Firman Allah SWT : “Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal yang soleh di antara kamu bahawa Dia benar-benar akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan benar-benar Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, setelah (sebelumnya) mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap beribadah kepada-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apa pun dengan Aku. Dan sesiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq.” (Surah an-Nur : 55)

Sudah pasti, usaha mendapatkan kuasa itu hendaklah tersusun, dimulai dengan kekukuhan dasar dan pemikiran yang disebut sebagai Aqidah yang sahih. Diikuti amalan soleh dan dakwah serta jihad yang bersungguh sehingga menang atau syahid di jalan-Nya.

Nah, apabila suatu hari nanti kekuasaan kembali ke tangan orang yang beriman dan mereka melaksanakan hukum dan undang-undang Allah dengan kekuasaan yang diberikan Allah hasil usaha mereka maka ketika itu tiada siapa yang akan berani membantah atau campur tangan di dalam agama ini lalu barulah keadilan akan tertegak.

Apabila wujud kekuasaan.

 Ustaz Emran

"BERDAKWAHLAH DENGAN HIKMAH"-Dr. Abdul Karim Zaidan

Oleh: Imran al-Malizi
(imran_almalizi@ yahoo.com)

BINGKISAN DARI YAMAN

Dalam bingkisan minggu ini, saya ingin menyambung sedikit lagi pesanan daripada guru kami, Dr. Abdul Karim Zaidan berkenaan dengan usaha islah dan dakwah yang menjadi tanggungjawab para ulama dan pendakwah Islam khususnya di negara kita.

Menyentuh mengenai kesan globalisasi terhadap dunia Islam dan pengaruhnya ke atas golongan muda, saya menyebut tentang para pemuda-pemudi di Malaysia yang banyak berkiblatkan negara-negara Barat dari segi cara berpakaian dan mengamalkan cara hidup yang jauh menyeleweng daripada ajaran Islam.

Dr. Zaidan meletakkan tanggungjawab memperbaiki keadaan ini kepada para ulama dan pendakwah. Katanya, “Demi Allah, para ulama perlu menasihati mereka itu bahawa tidak boleh melakukan perkara yang haram.. (nasihatlah mereka) dengan kata-kata yang lembut. Firman Allah Ta’ala: “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik.” (al-Nahl: 125)

Kemudian Dr. Zaidan menggalakkan agar para ulama dan pendakwah supaya terus menghidupkan kelas-kelas pengajian, ceramah, seminar dan menyebarkan buku-buku berkaitan dakwah Islam.

Beliau juga menyeru agar usaha dakwah ini dijalankan kepada golongan muda dengan lemah lembut dan dilakukan secara berperingkat demi peringkat, dari masa ke semasa. Sebolehnya, hendaklah dielakkan daripada bercakap perkara-perkara yang terlalu besar bagi mereka untuk menerimanya.

Apa yang penting, hendaklah diperbetulkan generasi muda ini dari perkara-perkara yang asas dan fardu seperti mentauhidkan Allah S.W.T, mendirikan solat, kewajipan menurut aurat dan sebagainya. Ini kerana kerosakan yang berlaku pada golongan pemuda-pemudi pada hari ini perlu diperbetulkan daripada perkara-perkara yang asas dalam agama.

Lebih buruk lagi, kejahilan generasi muda pada agama Islam ini turut terdedah kepada ideologi-ideologi yang bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar. Tanpa asas akidah yang kukuh, kedudukan umat Islam berada dalam keadaan yang kritikal.

Apabila saya menceritakan tentang ideologi dan fahaman Islam Liberal yang tersebar di negara Malaysia, Dr. Zaidan menyebut, “Apa itu Islam Liberal? Tiada liberal. Islam yang kita ada sebagaimana firman Allah: “Sesungguhnya agama (yang diredhai) di sisi Allah hanyalah Islam.” (Ali Imran: 19) dan “..Dia (Allah) telah menamakan kamu sekalian sebagai muslimin dari dahulu..” (al-Hajj: 78).

Firman Allah lagi, “Dan sesiapa yang mencari agama selain Islam, maka tidak sekali-kali diterima daripadanya, dan pada hari akhirat kelak ia daripada orang-orang yang rugi." (Surah Ali Imran : 85).

Islam yang kita ada adalah bersumberkan daripada al-Quran dan Sunnah mengikut apa yang diterangkan oleh para ulama dan fuqaha,” jelas beliau.

Kemudian saya menyebut, “Tetapi, terdapat golongan yang mentakwil ayat al-Quran, “Tidak ada paksaan dalam agama (Islam),” (al-Baqarah: 256).

Dr. Zaidan lekas menjawab, “Tiada paksaan dalam agama ini bagi golongan bukan Islam.”

Maknanya, orang-orang bukan Islam tidak boleh dipaksa untuk memasuki agama Islam. Adalah satu kesalahan yang besar bagi orang Islam yang tidak mahu menerima keseluruhan ajaran Islam dan menganggap bahawa ‘tiada paksaan dalam agama’ dengan berhujahkan ayat al-Quran ini.

Bagi golongan tersebut, Dr. Zaidan mengatakan, “Kalau begitu dia bukan seorang muslim.. itu dipanggil ‘murtad’,” ujarnya sambil ketawa kecil.

Untuk itu, Dr.Abdul Karim Zaidan mengulang sekali lagi nasihatnya berkenaan takwa dan ikhlas. Katanya, “Allah Ta’ala memerintahkan nabiNya supaya bertakwa dengan firmanNya, “Wahai Nabi! Bertakwalah kepada Allah dan janganlah kamu menuruti (keinginan) orang-orang kafir dan orang-orang munafik.” (al-Ahzab: 1) dan firmanNya lagi “..sesiapa yang bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar.” (al-Talaq: 2)

Menurut beliau lagi, “Takwa ialah beriltizam untuk melaksanakan perintah-perintah Allah dan berhenti daripada melakukan segala tegahanNya. Usahakanlah takwa ini dengan menurut kemampuan kamu. Beribadatlah untuk mendapatkan keredhaanNya iaitu dengan ikhlas. Beribadatlah kepada Allah sebagaimana yang disyariatkan. Bukan dengan melakukan bid’ah dan perkara-perkara yang baru (dalam ibadat),” ujarnya.

“Dua perkara ini yang saya ingin berpesan, iaitu takwa dan ikhlas. Sentiasalah berfikir dalam urusan agama dan mendoakan kaum muslimin. Janganlah kamu menerima perkara yang di luar batas Islam, cegahlah perkara kemungkaran dengan tangan, lidah atau pun dengan hati,” tambah beliau.

Apabila saya bertanya kepada beliau tentang keadaan semasa di Iraq, Dr. Zaidan menjawab, “Suasana di Iraq sebagaimana yang kamu ketahui, masih tidak stabil.” Dr. Zaidan juga tidak menolak bahawa pengaruh pentadbiran Amerika Syarikat masih bertapak dalam kancah politik di Iraq.

Sebenarnya Dr. Abdul Karim Zaidan pernah mengalami ujian yang sangat berat semasa di Iraq pada zaman pemerintahan Saddam Hussien (semoga Allah mengampuninya) .

Dalam usahanya untuk menegakkan perundangan Islam di tanah airnya, beliau pernah dipenjarakan dan diseksa. Malah, lebih menyayat hati apabila salah seorang anak lelakinya dibunuh di hadapan matanya sendiri semata-mata kerana beliau enggan tunduk kepada kezaliman pemerintah.

Kesan daripada penyeksaan yang diterimanya, Dr. Abdul Karim Zaidan mengalami masalah penglihatan yang serius sehingga ke hari ini. Beliau terpaksa membaca dengan menggunakan kanta yang tebal.

Kisah ini sudah diketahui oleh kebanyakan orang-orang yang rapat dengan beliau. Walau bagaimanapun Dr. Zaidan tidak suka perkara itu disebut-sebut.

Sudah berulang kali stesen-stesen TV dan wakil-wakil akhbar yang terkenal serta berpengaruh meminta kebenaran untuk menemuramah beliau bagi merakamkan kisah hidup dan pengalaman dakwahnya, namun kesemuanya ditolak dengan mentah.

Bagi beliau, biarlah kesemuanya itu menjadi hujah di hadapan Allah Ta’ala kelak bahawa beliau telah berusaha melaksanakan amanahNya dan memperjuangkan agama Allah semasa hidup di atas muka bumi ini.

Dengan itu segala nasihat dan pesanan beliau yang disiarkan pada dua keluaran dalam kolum ini wajarlah diambil manfaat oleh semua pendakwah yang ingin terjun ke medan dakwah dan semua pejuang yang bersemangat untuk memperjuangkan Islam. Kerana tanpa takwa dan keikhlasan dalam melakukan kerja-kerja Islam, kita pasti akan tersasar daripada matlamat dan tidak akan mendapat pertolongan daripada Allah Ta’ala.

Di akhir pertemuan itu, kami menghadiahkan kepada Dr. Abdul Karim Zaidan beberapa buah buku dalam bahasa Arab iaitu Filestin min quttho’ al-Tariq ila Khoritoh al-Tariq (karangan Tuan Guru Hj. Abdul Hadi bin Awang), Al-Hizb al-Islami al-Malizi (karangan Ustaz Abu Bakar Chik) dan tesis saya yang bertajuk Al-Syeikh Abdul Hadi Awang wa Dauruhu fil-Harakah al-Islamiyyah bi Malizia yang merupakan biografi ringkas mengenai peranan presiden PAS dalam sejarah gerakan Islam di Malaysia.

Dr. Abdul Karim Zaidan ternyata berbesar hati dan berterima kasih atas hadiah tersebut. “Hadiah ini diterima di sisi Allah. InsyaAllah Ta’ala,” kata beliau mengakhiri pertemuan.

ZIKIR SELEPAS SOLAT


التحذير من الكهان
عن عائشة - رضي الله عنها قالت: سأل أناس النبي - صلى الله عليه وسلم - عن الكهان ؟ فقال: إنهم ليسوا بشيء، فقالوا: يا رسول الله فإنهم يحدثون بالشيء يكون حقاً قال: فقال النبي - صلى الله عليه وسلم - : ( تلك الكلمة من الحق يخطفها الجني، فيقرقرها في أذن وليه كقرقرة الدجاجة، فيخلطون فيه أكثر من مائة كذبة ) رواه البخاري
المفردات
الكهان: جمع كاهن وهو من يدعي علم المستقبل ومعرفة الأسرار.
ليسوا بشيء: ليس قولهم بشيء يعتمد عليه .
يقرقرها: يرددها مثل ترديد الدجاجة صوتها .
المعنى الإجمالي :
كان الجن في الجاهلية يقعدون في مقاعد في السماء يستمعون ما تردده الملائكة من خبر الله وأمره، ويبلغون ما يسمعون لكهنة الأرض من البشر، الذين يستغلون هذه الأخبار في تطويع الناس لهم وإفسادهم وإضلالهم .
فلما بُعث النبي - صلى الله عليه وسلم – شُدِّدت الحراسة على السماء، فلا يكاد يقترب شيطان من أبوابها إلا رُجِم بشهب النار، إلا أن الشياطين اتخذوا طريقة لمعرفة الغيب ولو خاطرت بأرواحها رغبة في إضلال العباد واستمرار سيطرتها عليهم، فكان الشياطين الصاعدون للسماء يقف بعضهم فوق بعض أفقياً، فربما أدرك الشهاب المستمع قبل أن يرمي بما سمع إلى صاحبه فيحرقه، وربما لم يدركه حتى يرمي بها إلى الذي يليه إلى الذي هو أسفل منه، حتى يُلقوها إلى الأرض، فتلقى على فم الساحر، فيكذب معها مائة كذبة، فيصدقه الناس ويقولون: " ألم يخبرنا يوم كذا وكذا يكون كذا وكذا فوجدناه حقاً، للكلمة التي سمعت من السماء ".
الفوائد العقدية:
التحذير من الكهان ومن على شاكلتهم ممن يدعي علم الغيب .
تفاني شياطين الجن ومخاطرتهم لمعرفة الغيب رغبة في إضلال بني آدم وإفسادهم.
حرمة إتيان الكهان لمعرفة الغيب أو تصديقهم، فعن أبي هريرة - رضي الله عنه - عن النبي - صلى الله عليه وسلم - أنه قال: ( من أتى كاهناً أو عرّافاً فصدقه بما يقول: فقد كفر بما أنزل على محمد - صلى الله عليه وسلم - ) رواه أحمد .
قلة صدق الكهان وكثرة كذبهم .

10 TABIAT ROSAKKAN OTAK

Email : ila zamzila"( dipetik dari blog cina islam)
1. Tidak mengambil sarapan pagi- Apabila seseorang tidak mengambil sarapan pagi, paras gula dalam darah akan menjadi rendah. Ini akan mengakibatkan kekurangan bekalan nutrisi pada otak dan menjadikannya kurang aktif.
2. Terlebih makan- Ia akan membebankan pembuluh darah otak dan mengurangkan kuasa mental otak.
3. Perokok- Asap rokok akan mengakibatkan sel-sel otak terjejas atau terbakar dan boleh mengakibatkan penyakit 'Alzheimer'.
4. Penggunaan gula yang berlebihan- Pengambilan gula secara berlebihan akan mengganggu penyerapan protein dan nutrisi. Selain daripada itu, ia akan mengganggu perkembangan otak yang sihat.
5. Pencemaran udara- Otak adalah pengguna oksigen terbesar dalam badan manusia.Pencemaran udara boleh menyebabkan pengurangan bekalan oksigen ke otak dan keaktifan otak.
6. Terlebih tidur- Tidur adalah bagus untuk merehatkan otak tetapi masa tidur yang panjang boleh mengakibatkan sel-sel otak kita mati.
7. Menutup muka ketika tidur- Tidur sambil menutup muka akan mengakibatkan otak menerima lebih banyak karbon dioksida berbanding oksigen dan ini akan membawa kerosakan kepada otak.
8. Membiarkan otak bekerja semasa kita berada di dalam keadaan kurang sihat-
Bekerja semasa anda kurang sihat boleh mengurangkan keberkesanan otak dan juga membawa kerosakan kepada sel-sel otak.
9. Kurang berimiginasi- Berfikir adalah satu cara terbaik untuk melatih otak kita. Kurangnya berimiginasi boleh menyebabkan tahap kecerdasan/keaktifa n otak menurun.
10. Jarang berfikir- Jarang berfikir akan menyebabkan otak kita kurang aktif. Oleh itu, perbincangan yang membina boleh menambah keberkesanan kecerdasan otak kita.
ليلة النصف من شعبان
كتبه الشيخ القرضاوي

ليلة النصف من شعبان، لم يأت فيها حديث وصل إلى درجة الصحة، هناك أحاديث حسنها بعض العلماء، وبعضهم ردها وقالوا بأنه لم يصح في ليلة النصف من شعبان أي حديث... فإن قلنا بالحسن، فكل ما ورد أنه يدعو في هذه الليلة، ويستغفر الله عز وجل، أما صيغة دعاء معين فهذا لم يرد، والدعاء الذي يقرأه بعض الناس في بعض البلاد، ويوزعونه مطبوعاً، دعاء لا أصل له، وهو خطأ، ولا يوافق المنقول ولا المعقول..

في هذا الدعاء نجد هذا القول: "اللهم إن كنت كتبتني عندك في أم الكتاب شقياً أو محروماً أو مطروداً أو مقتراً على في الرزق، فامح اللهم بفضلك شقاوتي، وحرماني وطردي، وإقتار رزقي وأثبتني عندك في أم الكتاب سعيداً مرزوقاً موفقاً للخيرات كلها فإنك قلت وقولك الحق في كتابك المنزل وعلى لسان نبيك المرسل: "يمحو الله ما يشاء ويثبت، وعنده أم الكتاب".

ففي هذا الكلام نرى تناقضاً واضحاً: ففي أوله يقول: إن كنت كتبتني عندك في أم الكتاب شقياً أو محروماً.. فامح هذا وأثبتني عندك في أم الكتاب سعيداً مرزوقاً للخيرات.. لأنك قلت "يمحو الله ما يشاء ويثبت، وعنده أم الكتاب". فمعنى الآية أن أم الكتاب لا محو فيها ولا إثبات، فكيف يطالب بالمحو والإثبات في أم الكتاب.

ثم هذا الكلام ينافي ما جاء في أدب الدعاء، فالنبي عليه الصلاة والسلام يقول: "إذا سألتم الله فاجزموا في المسألة" لا يقل أحدكم: يارب اغفر لي إن شئت، أو ارحمني إن شئت، أو ارزقني إن شئت، فإن الله لا مكره له، بل ينبغي أن ينبغي أن
يقول: اغفر لي، ارحمني، ارزقني... بالجزم واليقين.. لأن هذا هو المطلوب ممن يدعو ربه عز وجل.

أما تعليق الدعاء على المشيئة والشرطية بقول الداعي "إن شئت" كما سلف، فليس هذا أسلوب الدعاء، ولا أدبه، ولا أسلوب المفتقر الذليل إلى ربه، بل هو أسلوب أشبه بأسلوب التأليف الركيك الذي لا يقبل في مثل هذا المقام من عباد الله المؤمنين.

وهذا يدلنا على أن الأدعية التي يضعها البشر ويخترعونها كثيراً ما تكون قاصرة عن أداء المعنى، بل قد تكون محرفة ومغلوطة ومتناقضة، إنه ليس أفضل مما ورد عن النبي صلى الله عليه وسلم من أدعية مأثورة، لأنه يترتب عليها أجران: أجر الاتباع، وأجر الذكر. فعلينا دائماً أن نحفظ هذه الأدعية النبوية، وأن ندعو بها.

أما ليلة النصف من شعبان، فمعظم ما يفعل فيها من أشياء ليس وارداً، ولا صحيحاً ولا من السنة في شيء.

أذكر أني كنت أقوم في صغري مع الناس تقليداً لهم، فنصلي ركعتين بنية طول العمر، وركعتين بنية الغنى عن الناس، وقراءة يس ثم صلاة ركعتين.. وغير ذلك، وكل هذه تعبدات ما أمر الشرع بها، والأصل في العبادات، الحظر.. ليس للإنسان أن يخترع في عباداته ما يشاء، لأن الذي من حقه أن يعبد الناس وأن يرسم لهم العبادة هو الله عز وجل. (أم شرعوا لهم من الدين ما لم يأذن به الله) فعلينا أن نقف عند ما ورد، ولا نفعل أكثر من الدعاء المأثور، إن كان ذلك حسناً... والله أعلم


www.Zaharuddin.net

BOYCOTT ISRAEL CAMPAIGN

http://www.inminds.co.uk/boycott-brands.html

FATWA TENTANG AIR MUSOFFA DAN YANG SEUMPAMANYA

Kategori : Muamalat
Tajuk :
Kedudukan Air Musoffa Dan Seumpamanya
Isu :
Kedudukan Air Musoffa Dan Seumpamanya




Fatwa :

"Penjualan air musoffa dan sebarang jenis air yang diproses seumpamanya secara komersil adalah dilarang kerana boleh membuka ruang kepada penyelewengan akidah, khurafat dan penipuan."


Tarikh Pewartaan :
3 Januari 2007
Oleh : Jawatankuasa Perundingan Hukum Syara' Wilayah Persekutuan

----

SUmber: http://www.e-fatwa.gov.my/mufti/fatwa_warta_view.asp?keyID=1422

TAJDID IMAN

WARKAH TERBUKA KEPADA YAB MENTERI BESAR KEDAH DARUL AMAN.

Daripada
Nasir Bin Awang

Kepada

Yang dikasihi
Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Ustaz Azizan bin Abdul Razak
Menteri Besar Kedah Darul Aman.

Assalamualaikum
Perkara: Urusan Pengkebumian Jenazah.

Menghadapi tiga pengalaman urusan kematian bapa mertua, bapa dan terkini ibu mertua, saya berasa begitu geram dengan sikap serta kejahilan orang-orang kita yang mengaku alim dan pandai.

Saya berani berkata demikian kerana apa yang saya lihat memang orang-orang yang dijemput untuk urusan jenazah seperti urusan mandi, sembahyang dan kebumi memang menunjukkan kejahilan dan kepentingan diri seolah-olah membelakangkan fardhu kifayah. Kejahilan yang dimaksudkan bukan kejahilan dengan apa yang mereka lakukan terhadap mayat seperti mandi atau sembahyang itu salah, tetapi sikap mereka yang begitu mementingkan upah dan wang.

Untuk makluman, jika berlaku kematian kita perlu menyediakan RM100 untuk upah mandi mayat lelaki, RM120 jika mayat perempuan, RM200 upah korek kubur, RM350 untuk keranda dan kelengkapan, RM50 untuk sewa van, RM5 seorang untuk sembahyang (jika seratus orang tentunya RM500) RM90 untuk bacaan talkin bagi tiga orang pembaca. Jumlah perbelanjaan antara RM1,500 ke RM2,000. Wang untuk tukaran “upah” sembahyang juga telah disediakan wang kertas RM5 oleh tukang pembawa keranda dan kelengkapan. Ini bermakna setiap orang mestilah diupah dengan RM5 seorang. Bagi keluarga yang mampu, perkara ini mungkin tidak bermasalah. Tetapi bagi yang kurang mampu?

Apa yang saya ceritakan ialah jika kematian itu berlaku dikampung. Tetapi jika kematian itu berlaku dibandar dan urusan sembahyang jenazahnya dilakukan dimasjid dibandar, situasinya adalah berbeza. Perbelanjaan cuma sekitar RM600 – RM700 sahaja kerana “upah” sembahyang tidak diperlukan kerana masjid dibandar sentiasa dipenuhi jemaah pada setiap waktu sembahyang berbanding masjid dikampung. Jika jenazah dibawa pada waktu sembahyang, semua jemaah akan menyembahyangkan jenazah tersebut. Ini adalah pengalaman saya semasa sama-sama menguruskan hal kematian bapa saudara yang dikebumikan dibandar tidak lama dulu.

Berbalik kepada cerita dikampung, bukanlah sesuatu yang mengejutkan jika pada keesokan hari ada orang tidak mendapat “upah” sembahyang pada kelmarinnya kerana mungkin kehabisan sampul yang disediakan akan datang semula menuntut kepada waris simati upah sembahyang termasuk duit minyak kenderaannya sekali.

Kenapa jika jenazah disembahyangkan dimasjid kampung perlu dibayar upah?

Sebabnya mudah, kerana masjid dikampung tidak ramai jemaah yang datang bersembahyang waktu terutamanya diwaktu Zohor atau Asar. Kalau ada sepuluh orang, sudah dikira cukup ramai. Oleh kerana tidak ramai jemaah yang datang kemasjid, maka waris simati perlu menjemput orang-orang dari luar kariah melalui seorang wakil disesuatu kariah (diuruskan oleh Imam kariah berkenaan atau wakil) untuk datang menyembahyangkan jenazah.

Pada kefahaman saya, upah sembahyang ini dimulakan oleh orang-orang berada dengan niat untuk bersedekah bagi pihak simati. Lama-kelamaan perkara tersebut telah menjadi satu amalan dimana setiap kali bersembahyang jenazah, mesti diberikan sedekah yang lama-kelamaan pula menjadi upah! Jika tidak diberikan “sampul berisi” pastinya tidak ada orang yang akan datang bersembahyang. Malah ada jemaah yang penipu dengan masuk semula kedalam masjid untuk mendapatkan satu lagi sampul!

Dalam hal ini saya mempunyai beberapa cadangan:

1. Jabatan Agama Islam perlu memantau serta memberikan taklimat atau kursus kesedaran kepada semua imam-imam agar lebih bertanggungjawab terhadap memberikan ilmu dan bimbingan terhadap anak-anak kariah mengenai urusan kematian kerana soal-soal bayaran ini selalunya diuruskan oleh imam sendiri! Jabatan perlu menggesa semua imam agar memberikan kursus sembahyang jenazah kepada sekurang-kurangnya 30 orang anak kariah. Jika berlaku kematian didalam kariah, mereka ini akan dipanggil untuk menyembahyangkan mayat tanpa sebarang “upah”.

2. Pihak masjid perlu menyediakan peruntukan kewangan melalui tabungnya untuk

membantu keluarga simati dengan memberikan wang pendahuluan untuk urusan pengkebumian jenazah. Urusan kewangan ini diuruskan oleh bendahari masjid atau wakil bagi mengurangkan bebanan waris simati. Urusan kewangan mestilah dibuat seminima mungkin atau jumlah yang dipersetujui oleh waris simati. Pembayaran balik bolehlah diaturkan kemudian. Ini adalah untuk meringankan bebanan waris simati.

3. Memberi kursus dan kesedaran kepada “kepala-kepala mayat” tentang tanggungjawab kifayah dan menghentikan segera amalan menuntut wang “upah” sembahyang, caj telefon, duit minyak dan sebagainya.

4. Jabatan Agama Islam perlu menyediakan khutbah khusus untuk memberikan kesedaran kepada orangramai terutamanya “kaki-kaki sembahyang mayat” tentang tanggungjawab kifayah dan hukum mengharapkan upah. Jabatan juga perlu bertindak

tegas dalam menangani masalah ini agar gejala tersebut dihapuskan terus.

Sekian, untuk makluman dan perhatian YAB.

Terima kasih.

http://abangadpower.blogspot.com/