WARKAH TERBUKA KEPADA YAB MENTERI BESAR KEDAH DARUL AMAN.
Daripada
Nasir Bin Awang
Kepada
Yang dikasihi
Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Ustaz Azizan bin Abdul Razak
Menteri Besar Kedah Darul Aman.
Assalamualaikum
Perkara: Urusan Pengkebumian Jenazah.
Menghadapi tiga pengalaman urusan kematian bapa mertua, bapa dan terkini ibu mertua, saya berasa begitu geram dengan sikap serta kejahilan orang-orang kita yang mengaku alim dan pandai.
Saya berani berkata demikian kerana apa yang saya lihat memang orang-orang yang dijemput untuk urusan jenazah seperti urusan mandi, sembahyang dan kebumi memang menunjukkan kejahilan dan kepentingan diri seolah-olah membelakangkan fardhu kifayah. Kejahilan yang dimaksudkan bukan kejahilan dengan apa yang mereka lakukan terhadap mayat seperti mandi atau sembahyang itu salah, tetapi sikap mereka yang begitu mementingkan upah dan wang.
Untuk makluman, jika berlaku kematian kita perlu menyediakan RM100 untuk upah mandi mayat lelaki, RM120 jika mayat perempuan, RM200 upah korek kubur, RM350 untuk keranda dan kelengkapan, RM50 untuk sewa van, RM5 seorang untuk sembahyang (jika seratus orang tentunya RM500) RM90 untuk bacaan talkin bagi tiga orang pembaca. Jumlah perbelanjaan antara RM1,500 ke RM2,000. Wang untuk tukaran “upah” sembahyang juga telah disediakan wang kertas RM5 oleh tukang pembawa keranda dan kelengkapan. Ini bermakna setiap orang mestilah diupah dengan RM5 seorang. Bagi keluarga yang mampu, perkara ini mungkin tidak bermasalah. Tetapi bagi yang kurang mampu?
Apa yang saya ceritakan ialah jika kematian itu berlaku dikampung. Tetapi jika kematian itu berlaku dibandar dan urusan sembahyang jenazahnya dilakukan dimasjid dibandar, situasinya adalah berbeza. Perbelanjaan cuma sekitar RM600 – RM700 sahaja kerana “upah” sembahyang tidak diperlukan kerana masjid dibandar sentiasa dipenuhi jemaah pada setiap waktu sembahyang berbanding masjid dikampung. Jika jenazah dibawa pada waktu sembahyang, semua jemaah akan menyembahyangkan jenazah tersebut. Ini adalah pengalaman saya semasa sama-sama menguruskan hal kematian bapa saudara yang dikebumikan dibandar tidak lama dulu.
Berbalik kepada cerita dikampung, bukanlah sesuatu yang mengejutkan jika pada keesokan hari ada orang tidak mendapat “upah” sembahyang pada kelmarinnya kerana mungkin kehabisan sampul yang disediakan akan datang semula menuntut kepada waris simati upah sembahyang termasuk duit minyak kenderaannya sekali.
Kenapa jika jenazah disembahyangkan dimasjid kampung perlu dibayar upah?
Sebabnya mudah, kerana masjid dikampung tidak ramai jemaah yang datang bersembahyang waktu terutamanya diwaktu Zohor atau Asar. Kalau ada sepuluh orang, sudah dikira cukup ramai. Oleh kerana tidak ramai jemaah yang datang kemasjid, maka waris simati perlu menjemput orang-orang dari luar kariah melalui seorang wakil disesuatu kariah (diuruskan oleh Imam kariah berkenaan atau wakil) untuk datang menyembahyangkan jenazah.
Pada kefahaman saya, upah sembahyang ini dimulakan oleh orang-orang berada dengan niat untuk bersedekah bagi pihak simati. Lama-kelamaan perkara tersebut telah menjadi satu amalan dimana setiap kali bersembahyang jenazah, mesti diberikan sedekah yang lama-kelamaan pula menjadi upah! Jika tidak diberikan “sampul berisi” pastinya tidak ada orang yang akan datang bersembahyang. Malah ada jemaah yang penipu dengan masuk semula kedalam masjid untuk mendapatkan satu lagi sampul!
Dalam hal ini saya mempunyai beberapa cadangan:
1. Jabatan Agama Islam perlu memantau serta memberikan taklimat atau kursus kesedaran kepada semua imam-imam agar lebih bertanggungjawab terhadap memberikan ilmu dan bimbingan terhadap anak-anak kariah mengenai urusan kematian kerana soal-soal bayaran ini selalunya diuruskan oleh imam sendiri! Jabatan perlu menggesa semua imam agar memberikan kursus sembahyang jenazah kepada sekurang-kurangnya 30 orang anak kariah. Jika berlaku kematian didalam kariah, mereka ini akan dipanggil untuk menyembahyangkan mayat tanpa sebarang “upah”.
2. Pihak masjid perlu menyediakan peruntukan kewangan melalui tabungnya untuk
membantu keluarga simati dengan memberikan wang pendahuluan untuk urusan pengkebumian jenazah. Urusan kewangan ini diuruskan oleh bendahari masjid atau wakil bagi mengurangkan bebanan waris simati. Urusan kewangan mestilah dibuat seminima mungkin atau jumlah yang dipersetujui oleh waris simati. Pembayaran balik bolehlah diaturkan kemudian. Ini adalah untuk meringankan bebanan waris simati.
3. Memberi kursus dan kesedaran kepada “kepala-kepala mayat” tentang tanggungjawab kifayah dan menghentikan segera amalan menuntut wang “upah” sembahyang, caj telefon, duit minyak dan sebagainya.
4. Jabatan Agama Islam perlu menyediakan khutbah khusus untuk memberikan kesedaran kepada orangramai terutamanya “kaki-kaki sembahyang mayat” tentang tanggungjawab kifayah dan hukum mengharapkan upah. Jabatan juga perlu bertindak
tegas dalam menangani masalah ini agar gejala tersebut dihapuskan terus.
Sekian, untuk makluman dan perhatian YAB.
Terima kasih.
http://abangadpower.blogspot.com/