Zakat Wang Tunai (Mata Wang)
1- Kekayaan wang yang wajib dikeluarkan zakat ialah kekayaan yang lebih dari keperluan asas manusia.
2- Nisab kekayaan wang tunai dan mata wang kertas adalah ditaksirkan dengan nisab emas iaitu bersamaan dengan 85 gram emas tulin dengan kiraan harga semasa di negeri orang yang mengeluarkan zakat ketika ianya diwajibkan.
3- Wang tunai dan mata wang kertas yang tidak cukup nisab hendaklah dicampurkan dengan kekayaan yang terdapat pada emas dan perak atau selain dari kedua harta tersebut sekiranya ada dan kesemuanya kekayaan tersebut hendaklah dikira dalam bentuk harga mengikut pendapat mazhab Hanafi. Oleh yang demikian kita hendaklah memasukkan atau menghimpunkan kesemua harta kekayaan yang ada kemudian ia dikira, sekiranya mencukupi nisab ia wajib dikeluarkan zakat.
4- Harta yang telah dikeluarkan zakat kemudian ia berubah menjadi bentuk yang lain seperti hasil pertanian, apabila ia dikeluarkan zakat kemudian hasil pertanian tersebut dijual, harga yang diperolehi hasil dari jualan tersebut tidak wajib dikeluarkan zakat semasa mengeluarkan zakat harta lain yang telah cukup haulnya. Ini adalah kerana sekiranya dia mengeluarkan zakat bagi harta tersebut, ini bermakna dia mengeluarkan zakat secara berulang kali di dalam satu haul dan pada harta yang sama. Perbuatan seumpama ini adalah bertentangan dengan hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud: Tiada pergandaan dalam sedekah (zakat). Walau bagaimanapun ia hendaklah dikeluarkan zakat pada haul yang berikutnya.
5- Mengenai hutang pula sama ada orang lain berhutang dengan kita atau kita berhutang dengan orang lain, ia hendaklah dimasukkan ke dalam bab hutang, iaitu dikira dan ditolak segala hutang terlebih dahulu kemudian barulah dikeluarkan zakat.